Tuesday, October 25, 2011

LBCN jamin siap projek perumahan Alam Perdana

LBCN juga telah mendepositkan RM41 juta dalam "Tabung Projek Terbengkalai Negeri Selangor" yang diuruskan oleh kerajaan negeri. SHAH ALAM: Kerajaan negeri telah memperoleh jaminan peribadi dari pengarah-pengarah Ladang Bukit Cherakah Nominees Sdn Bhd (LBCN) untuk menyiapkan projek perumahan terbengkalai, Alam Perdana di Kuala Selangor akhir tahun ini. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan kepada kira-kira 500 pembeli rumah bahawa LBCN juga telah mendepositkan RM41 juta dalam “Tabung Projek Terbengkalai Negeri Selangor” yang diuruskan oleh kerajaan negeri. Beliau berkata, dana itu akan digunakan untuk menyiapkan 3,000 rumah yang sepatutnya telah disiapkan sejak 2001. LBCN diberi tempoh antara enam hingga ke 18 bulan untuk menyiapkan sepenuhnya pembinaan itu. “Jika syarikat ini gagal menyiapkannya, mereka akan kehilangan deposit. Kita akan menggunakan dana ini untuk mendapatkan pemaju lain bagi menyiapkan projek perumahan ini,” kata Menteri Besar dalam satu kenyataan media hari ini. Menteri Besar berkata demikian pada sesi dialog dengan pembeli-pembeli rumah projek Alam Perdana di Stadium Tertutup di Kuala Selangor, semalam. Bagi pembeli-pembeli yang telah diistiharkan muflis kerana gagal membayar pinjaman perumahan, Menteri Besar berkata, beliau akan cuba membantu dengan mengadakan perbincangan dengan bank-bank yang terlibat. “Saya secara peribadi akan bertemu pihak bank untuk memastikan pembeli tidak dibebankan dengan masalah ini, ” katanya. Pada sesi dialog itu, pembeli-pembeli meluahkan kemarahan terhadap pemaju kerana gagal menyiapkan projek seperti yang dijanjikan. Pada masa yang sama, pembeli-pembeli menyatakan terima kasih kepada kerajaan negeri yang membantu memastikan projek terbengkalai berkenaan disiapkan menjelang akhir tahun ini. Peneroka asal Mengenai isu Kampung Kerandang, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti 30 keluarga yang tinggal di kampung itu dan akan mengadakan pertemuan bagi memastikan mereka adalah peneroka asal. Kira-kira 1,000 ekar Hutan Simpan Bukit Tarek telah diasingkan dan diberikan sebagai tanah TOL di bawah kerajaan terdahulu. Kerajaan negeri mendapati bahawa tanah TOL ini dikeluarkan untuk tanaman kontan. “Kelapa sawit bukan tanaman kontan jadi kita perlu mengenal pasti siapa yang menerima tanah TOL ini,” katanya. Menteri Besar mengarahkan mereka yang secara tidak sengaja membeli tanah di Kampung Kerandang supaya mendaftar di Pejabat Tanah dan Galian kerana urusniaga ini mungkin menyalahi undang-undang. “Walaupun kerajaan negeri boleh mengabaikan transaksi haram ini, kami akan tetap bertemu dengan mereka atas dasar kemanusiaan,” kata Menteri Besar.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts